Harun berkerusi roda ketika menjalani prosiding di Mahkamah. |
KUANTAN – Ketua ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 50, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat sini pukul 5.15 petang semalam.
Bekas peguamnya, Hermes Media Putra Ibrahim berkata, Harun sebelum ini dimasukkan ke HTAA bagi menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menentukan keupayaannya memberi keterangan di mahkamah.
“Saya dimaklumkan bahawa Harun diberi bantuan pernafasan berikutan kekurangan oksigen.
“Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat lanjut mengenai punca sebenar kematiannya,” kata Hermes ketika dihubungi di sini semalam.
Harun atau juga dikenali dengan gelaran ‘Tuhan Harun’ diserang angin ahmar pada 2013 dan penyakit itu menjejaskan keupayaannya untuk bertutur dan terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak.
Dia bersama lima pengikutnya sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan di sini atas tuduhan berkonspirasi membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek pada 10 November 2013.
Harun dituduh melakukan kesalahan itu bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 33, pemandunya, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut iaitu Jefferi Safar, 39, Sumustapha Suradi, 41, serta Shamsinar Abdul Halim, 39, bersama seorang lagi yang masih bebas.
Selepas kematian Tuhan Harun, kes terhadapnya berakhir manakala isteri dan empat pengikutnya akan terus dibicarakan.
Pengarah HTAA, Datuk Dr. Ardi Awang mengesahkan Harun sudah meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment