KLUANG - Satu kem tentera darat di Hutan Melintang, Bagan Datoh di Perak, akan beroperasi awal tahun hadapan, selaras dengan usaha kerajaan memerangi ancaman militan Daesh serta menjaga keselamatan perairan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kem seluas 350 ekar itu akan menempatkan Batalion Infantri Standard dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat yang melibatkan anggota 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Artileri Diraja.
Selain itu, kem yang berpotensi menempatkan lebih 1,000 anggota itu juga bakal dilengkapi fasiliti guna sama, rumah keluarga angkatan tentera dan kemudahan lain, kata Hishammuddin.
Beliau berkata, kem yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika, beliau masih Menteri Pertahanan, bakal memperkukuhkan aspek keselamatan di kawasan Bagan Datoh, sekali gus menangani kegiatan jenayah rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
"Selain itu, Kem 23 RAMD Ipoh bakal dipindahkan ke kem baru itu demi pertahanan dan keselamatan yang lebih baik," kata Hishammuddin kepada pemberita selepas perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri.
"Walaupun dalam ekonomi yang cukup mencabar dan tidak menentu ini, kita umum mengenai pembinaan kem ini bagi memberi keyakinan kepada orang ramai dalam apa jua keadaan ekonomi, hal berkaitan keselamatan, tidak ada kompromi dan ia akan dilaksanakan," kata Hishammuddin. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment