MADU tiruan banyak dijual di tepi-tepi jalan di seluruh negara. |
KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu berfikir berkali-kali sebelum membeli madu di pasaran kerana mereka bakal terdedah dengan penyakit kronik tiga serangkai iaitu diabetes, serangan jantung dan kanser hati jika terbeli madu tiruan yang mengandungi gula tebu dan sirap jagung berfruktosa tinggi.
Penyelidik madu dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkata, rumusan tersebut dibuat berdasarkan ujian ke atas tikus putih di makmal yang mendapati mamalia tersebut menghadapi masalah obesiti dan kerosakan hati.
Mamalia tersebut akhirnya mati dalam tempoh dua bulan setelah diberikan madu tiruan itu.
Tegas beliau, keadaan sebaliknya berlaku ke atas tikus yang diberikan madu asli apabila haiwan tersebut semakin sihat, mempunyai peredaran darah yang lancar dan kekal hidup sepanjang kajian dilakukan.
“Pengambilan gula dalam dos yang tinggi dalam jangka masa panjang akan menyebabkan masalah obesiti kerana gula yang berlebihan di dalam madu tiruan akan disimpan di dalam sel-sel lemak tanpa ada hadnya.
“Sel-sel lemak akan terus berkembang dan menyebabkan masalah kegemukan dan obesiti. Keadaan itu seterusnya mendedahkan pengguna kepada pelbagai penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment