Saturday, 27 August 2016

Wanita Malaysia dijangkiti zika


SINGAPURA – Seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai menjadi pesakit pertama dijangkiti virus zika di Singapura.

Kementerian Kesihatan Si­ngapura (MOH) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura dalam satu kenyataan semalam berkata, memandang mangsa tidak berkunjung ke kawasan-kawasan yang kes itu dilaporkan, dia mungkin telah dijangkiti virus tersebut di Singa­pura.

Wanita itu tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent, Geylang dan bekerja di republik ini.

Kenyataan itu turut memetik Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong sebagai berkata, MOH dan NEA sedang bekerjasama bagi menjalankan kawalan vektor dan pemeriksaan ke atas penduduk yang mengalami demam dan ruam bagi mengurangkan risiko penyakit itu terus merebak.

“Kami juga telah memaklumkan klinik-klinik di kawasan tersebut untuk mengenal pasti kes-kes yang disyaki dan merujuknya kepada Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) untuk ujian,” katanya. Dalam pada itu, MOH dan NEA berkata, pesakit tersebut mengalami demam, ruam dan konjunktivitis sejak 25 Ogos lalu.

“Dia menemui seorang doktor pada 26 Ogos (kelmarin) lalu dan dirujuk ke CDC di Hospital Tan Tock Seng apabila ujian yang dijalankan mendapati dia positif zika pada 27 Ogos (semalam).

“Dia telah dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian di CDC dan kini semakin baik dan pulih,” kata agensi itu.

Saturday, 20 August 2016

Kem Tentera dibina di Hutan Melintang


KLUANG - Satu kem tentera darat di Hutan Melintang, Bagan Datoh di Perak, akan beroperasi awal tahun hadapan, selaras dengan usaha kerajaan memerangi ancaman militan Daesh serta menjaga keselamatan perairan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kem seluas 350 ekar itu akan menempatkan Batalion Infantri Standard dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat yang melibatkan anggota 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Artileri Diraja.

Selain itu, kem yang berpotensi menempatkan lebih 1,000 anggota itu juga bakal dilengkapi fasiliti guna sama, rumah keluarga angkatan tentera dan kemudahan lain, kata Hishammuddin.

Beliau berkata, kem yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika, beliau masih Menteri Pertahanan, bakal memperkukuhkan aspek keselamatan di kawasan Bagan Datoh, sekali gus menangani kegiatan jenayah rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

"Selain itu, Kem 23 RAMD Ipoh bakal dipindahkan ke kem baru itu demi pertahanan dan keselamatan yang lebih baik," kata Hishammuddin kepada pemberita selepas perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri.

"Walaupun dalam ekonomi yang cukup mencabar dan tidak menentu ini, kita umum mengenai pembinaan kem ini bagi memberi keyakinan kepada orang ramai dalam apa jua keadaan ekonomi, hal berkaitan keselamatan, tidak ada kompromi dan ia akan dilaksanakan," kata Hishammuddin. -BERNAMA

Thursday, 18 August 2016

Majistret 'basuh' pelajar perempuan minum arak


Kuala Lumpur: “Kamu masih belajar kenapa minum arak? Kamu beragama apa? Kamu solat atau tidak? Ini baru hukuman di dunia belum lagi hukuman di akhirat,” kata Majistret Mahkamah Trafik di sini, Noorul Fhaiez Mohd Nayan kepada seorang pelajar perempuan sebuah institusi kemahiran selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Hang Tuah di sini, pada 4.30 pagi semalam.

Siti Nur Azmanina Azihan, 18, didenda RM2,800 atau dua bulan penjara serta dibatalkan lesen percubaannya yang tidak diwakili peguam, sebelum itu merayu hukuman ringan atas alasan masih belajar di sebuah institusi kemahiran dan ibunya seorang ibu tunggal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM6,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim.

Wednesday, 17 August 2016

Budak 8 tahun bayar hutang ibu

SUDHIR (tengah) bersama pegawai bank di Mahkamah.
Patna (India): Sebuah mahkamah di Bihar terkejut dengan kehadiran seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berpakaian compang-camping datang untuk membayar hutang ibunya yang sudah meninggal dunia.

Menurut laporan, Anita Devi dari Kampung Singhaul di daerah Begusarai meminjam Rs21,000 (RM1,251) dari pada State Bank of India pada 2006 untuk mengusahakan perniagaan keluarga selepas suaminya Sunil Mochi langsung tidak menunjukkan minat untuk berbuat demikian.

Dua tahun kemudian, Anita melahirkan anak lelaki, Sudhir Kumar yang kini berusia lapan tahun.

Malangnya, pada 2012, Anita meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dan suaminya menghilangkan diri menyebabkan anaknya terpaksa dibela saudara-mara mereka.

Baru-baru ini, Sudhir menerima notis daripada bank menuntut hutang berusia 10 tahun itu dilunaskan.

Kerana buntu, kanak-kanak itu meminta nasihat orang kampung yang membantunya mengumpulkan wang berjumlah Rs5,000 (RM298) sebagai ansuran pertama.

Sehubungan itu, Sudhir datang ke mahkamah Sabtu lalu untuk membayar hutangnya.

Bagaimanapun, hakim yang terkejut melihat keadaannya yang miskin serta terlalu muda bersimpati dengannya dan memanggil pegawai bank sebelum mengarahkan mereka mengetepikan keseluruhan hutang berkenaan.

Malah, dia dikeluarkan resit mengatakan hutang berkenaan sudah dibayar.

Seorang penduduk kampung berkata: “Hakim dalam keputusannya berkata, dia menghormati dedikasi ditunjukkan Sudhir yang sanggup datang ke mahkamah semata-mata mahu melunaskan hutang ibunya itu.” - Agensi

Komando Vat 69 bakal miliki kem sendiri tahun depan

SEBAHAGIAN daripada anggota Polis yang terlibat dalam perbarisan sempena majlis penyampaian Sayap Penerjunan kepada peserta kursus Asas Payung Terjun Taktikal siri 1/2016 di Padang Tembak PGA Ulu Kinta.


IPOH - Komando Polis Diraja Malaysia Vat 69 akan mempunyai sebuah kem baharu selepas 47 tahun menumpang di dalam Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta Perak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, pembinaan kem tersebut di kawasan seluas 161.874 hektar bersebelahan Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta dijadual bermula tahun depan.

Katanya, kem berkenaan akan dibina secara berperingkat dengan kos dianggar berjumlah RM208 juta.

"Selama 47 tahun Komando 69 menumpang kini masanya untuk memiliki kem sendiri dan kita bercadang menyediakan kediaman sekali tetapi permulaan kita adakan kompleks untuk pejabat serta kawasan latihan," katanya.

Muhammad Sabtu berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sayap Penerjunan Kepada Peserta Kursus Asas Payung Terjun Tektikal Siri 1/2016 di Padang Tembak Briged Utara, Ulu Kinta.

Pada majlis itu, Muhammad Sabtu turut menyematkan sayap penerjunan kepada dua pegawai dan 29 anggota yang berjaya menamatkan kursus asas selama sebulan itu.

Sementara itu, Inspektor Jong Pit Chiao, 29, mencuri tumpuan apabila menjadi satu-satunya pegawai wanita yang menyertai kursus tersebut pada siri kali ini.

"Saya menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) April lalu, selepas itu saya bertugas di Komando 69 kemudian saya dipilih untuk mengikuti kursus ini," katanya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berharap pada masa hadapan lebih ramai anggota wanita akan mengikuti jejak langkahnya.

"Saya harap pasukan payung terjun akan bangun semula seperti dahulu dan fokus saya adalah untuk menyertai kursus selanjutnya agar dapat menjadi ketua pasukan payung terjun wanita," katanya. -BERNAMA

Tuesday, 16 August 2016

‘Tuhan Harun’ meninggal dunia di HTAA

Harun berkerusi roda ketika menjalani prosiding di Mahkamah.
KUANTAN – Ketua ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 50, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat sini pukul 5.15 petang semalam.

Bekas peguamnya, Hermes Media Putra Ibrahim berkata, Harun sebelum ini dimasukkan ke HTAA bagi menjalani pemeriksaan kesihatan untuk menentukan keupayaannya memberi keterangan di mahkamah.

“Saya dimaklumkan bahawa Harun diberi bantuan pernafasan berikutan kekurangan oksigen.

“Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat lanjut mengenai punca sebenar kematiannya,” kata Hermes ketika dihubungi di sini semalam.

Harun atau juga dikenali dengan gelaran ‘Tuhan Harun’ diserang angin ahmar pada 2013 dan penyakit itu menjejaskan keupayaannya untuk bertutur dan terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak.

Dia bersama lima pengikutnya sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan di sini atas tuduhan berkonspi­rasi membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek pada 10 November 2013.

Harun dituduh melakukan kesalahan itu bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 33, pemandunya, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut iaitu Jefferi Safar, 39, Sumustapha Suradi, 41, serta Shamsinar Abdul Halim, 39, bersama seorang lagi yang masih bebas.

Selepas kematian Tuhan Harun, kes terhadapnya berakhir manakala isteri dan empat pengikutnya akan terus dibicarakan.

Pengarah HTAA, Datuk Dr. Ardi Awang mengesahkan Harun sudah meninggal dunia.

Monday, 15 August 2016

Persona dijual antara RM47,000 hingga RM61,000


SHAH ALAM – Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini mengumumkan Proton Persona serba baharu yang akan dilancarkan pada 23 Ogos ini, kini dibuka untuk tempahan, dengan bayaran tempahan sebanyak RM300 (bayaran akan dikembalikan dalam sebarang keadaan).

Setanding dengan model-model keluaran terbaharu Proton, Proton Persona baharu ini dibina dengan mengutamakan ciri keselamatan. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan keselamatan di samping ciri-ciri pemanduan dan pengendalian yang tersendiri oleh Proton.

Dengan penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP pada semua variannya, model ini menyediakan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Hill-hold Assist, ISOFIX dan top tether, Bantuan Brek, Sistem Brek Anti-lock (ABS) serta 6 beg udara untuk varian Premium bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

Mula diperkenalkan pada tahun 2007, Proton Persona baharu ini merupakan generasi ke-2 Persona dan bertemakan “sporty dan eksekutif”. Proton Persona baharu ini juga dikuasakan oleh enjin VVT 1.6L untuk penggunaan bahan api yang lebih ekonomi dan merupakan kereta Proton pertama yang mempunyai indikator bagi bantuan pemanduan ECO.

Pada masa yang sama, Proton Persona baharu juga menyerlahkan ciri-ciri keanggunan dan praktikal. Dengan bahagian interior yang luas, tempat duduk yang direka secara ergonomik dan susun atur konsol, menjadikan perjalanan lebih selesa bagi pemandu dan penumpang. Persona baharu ini juga didatangkan dengan ruang bagasi seluas 510 liter tanpa menjejaskan keselesaan ruangan kabin penumpang.

Proton Persona baharu diperlihatkan dengan penuh bergaya dengan reka bentuk yang begitu menarik dari setiap sudut pandangan seperti wajah yang berani dan menarik, lampu bergaya dengan pencahayaan pintar dan aksesori di bahagian belakang, sensor pada sekeliling kereta, rim aloi 15” serta lampu depan berelektrik boleh diubah aras.

Semua ciri ini menjadikan kereta baharu ini lebih diperhalusi, kemas dan memberi lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan.

Harga indikatif bagi Proton Persona baharu ini adalah dari RM47,000 hingga RM61,000 di Semenanjung Malaysia dan dari RM49,000 sehingga RM63,000 di Timur Malaysia. Didatangkan dengan 3 varian - Standard, Executive dan Premium (dengan dan tanpa bodykit), dengan 6 warna pilihan - Cotton White, Fire Red, Sterling Silver, Graphite Grey, Quartz Black dan warna terbaharu, Carnelian Brown.

“Demi menjadikan pelancaran Proton Persona baharu ini lebih bermakna kepada pengguna Persona dan seiring dengan bulan Kemerdekaan dan hari Malaysia, kami menawarkan perkhidmatan percuma selama 3 tahun (termasuk alat ganti dan kos pekerja) untuk tempahan yang dibuat sehingga 30 September 2016,” kata Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan Proton di 1800 888 398 atau e-mel di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh melayari www.proton.com atau laman rasmi Facebook Proton di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial untuk keterangan lanjut.

Gaji doktor hospital kerajaan rendah


GAJI rendah di hospital kerajaan menjadi punca kenapa ramai doktor terpaksa menjalankan kerja sambilan selepas waktu pejabat.

Seorang pakar doktor ketika memberitahu akhbar Sin Chew Jit Poh, doktor muda di hospital kerajaan sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di universiti, beliau akan dikategorikan ke dalam Gred 41 dengan gaji bulanan yang diperolehnya adalah lebih kurang RM3,000 sahaja.

"Gaji beliau mungkin akan dinaikkan sehingga RM8,000 sekiranya beliau melanjutkan pengajian dengan memperoleh sijil kepakaran dalam bidang tertentu.

"Bagi seorang doktor muda, dengan pendapatan bulanan lebih kurang RM3,000, ia sebenarnya adalah jumlah yang amat kecil. Oleh itu, tidak mustahillah kita dapati ramai doktor di hospital kerajaan sanggup mencari kerja sambilan di klinik semata-mata untuk memperoleh pendapatan lebih," katanya.   

Menurutnya, seseorang doktor hospital kerajaan adalah dibenarkan melakukan kerja sambilan di klinik swasta selepas waktu pejabat, bagaimanapun beliau perlu mendapat kelulusan ketuanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas seorang doktor yang bertugas di klinik gigi di Bangsar, Kuala Lumpur, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini, atas tuduhan menyebabkan kematian menantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,

Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin, 36, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat ke atas Syed Alman Zain Syed Ali selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika membuat rawatan gusi di klinik tersebut.

Akhbar ini melaporkan, secara umum ramai mengetahui ramai doktor di hospital kerajaan melakukan kerja sambilan di klinik swasta, cuma jarang apabila adanya pakar sakit puan yang melakukan kerja sambilan di klinik gigi seperti dilakukan oleh Dr Ting.

"Sebelum dibolehkan kerja sambilan di klinik swasta, seseorang doktor yang masih berkhidmat di hospital kerajaan mestilah membuat permohonan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Selain itu, syarat utama yang diperlukan untuk kerja sambilan di klinik swasta ialah seseorang doktor itu mestilah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun di hospital kerajaan," tulis akhbar ini.

Kandungan toksik bawa maut

MADU tiruan banyak dijual di tepi-tepi jalan di seluruh negara.
KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu berfikir berkali-kali sebelum membeli madu di pasaran kerana mereka bakal terdedah dengan penyakit kronik tiga serangkai iaitu diabetes, serangan jantung dan kanser hati jika terbeli madu tiruan yang mengandungi gula tebu dan sirap ja­gung berfruktosa tinggi.

Penyelidik madu dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkata, rumusan tersebut dibuat berdasarkan ujian ke atas tikus putih di makmal yang mendapati mamalia tersebut meng­hadapi masalah obesiti dan kerosakan hati.

Mamalia tersebut akhirnya mati dalam tempoh dua bulan setelah diberikan madu tiruan itu.

Tegas beliau, keadaan sebalik­nya berlaku ke atas tikus yang diberikan madu asli apabila haiwan tersebut semakin sihat, mempu­nyai peredaran darah yang lancar dan kekal hidup sepanjang kajian dilakukan.

“Pengambilan gula dalam dos yang tinggi dalam jangka masa panjang akan menyebabkan masalah obesiti kerana gula yang berlebihan di dalam madu tiruan akan disimpan di dalam sel-sel lemak tanpa ada hadnya.

“Sel-sel lemak akan terus berkembang dan menyebabkan masalah kegemukan dan obesiti. Keadaan itu seterusnya mendedahkan pengguna kepada pelbagai penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sunday, 14 August 2016

Britain kekal dalam EU

Penyokong pro Brexit berkumpul di Downing bagi memberi sokongan kepada Theresa pada hari pertamanya mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri negara itu.
LONDON - Britain mungkin kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) sehingga hujung tahun 2019, berikutan penjawat awam kini sibuk dengan Brexit dan pilihan raya di Perancis, selain Jerman dijangka menangguhkan rundingan pengunduran.

Perdana Menteri Theresa May  juga dijangka menggubal Perkara 50 daripada Perjanjian Lisbon, sekali gus  memulakan pengunduran dalam tempoh dua tahun dari blok EU.

Bagaimanapun, Theresa mungkin terpaksa menangguhkannya kerana Brexit baharunya itu dan jabatan perdagangan antarabangsa dipercayai masih belum bersedia sepenuhnya.

Menurut sumber, Britain tidak mempunyai infrastruktur yang diperlukan, selain tidak tahu untuk bertanya soalan yang betul semasa mereka memulakan proses rundingan dengan Eropah.

"Menteri sedang memikirkan Perkara 50 yang mungkin ditangguhkan sehingga musim luruh tahun depan. Rundingan tidak boleh dilakukan sekiranya anda tidak tahu dengan siapa sedang anda berunding," kata sumber itu.

Pada 23 Jun lalu, 52 peratus atau 17.4 juta rakyat Britain mengundi untuk meninggalkan EU selepas 43 tahun menjadi anggota blok tersebut.

Keputusan undi menimbulkan kekacauan politik di Britain dan menjejaskan ekonomi serta pasaran kewangan global. - Agensi

Meninggal dunia ketika solat jenazah

Jenazah Ahmad dibaringkan di ruang solat Masjid Jamek Permatang Binjai, Tasek Gelugor, Seberang Perai semalam.
SEBERANG PERAI – Seorang bekas imam Masjid Jamek Permatang Binjai, Tasek Gelugor di sini disahkan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba semasa menunaikan solat jenazah seorang remaja lelaki di masjid berkenaan semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi itu, Ahmad Bidin, 82, dikatakan terjatuh dalam keadaan terlentang ketika solat jenazah baru hendak bermula.

Semasa itu, Ahmad yang juga bekas imam masjid berkenaan sejak 1999 hingga 2013 berada di saf hadapan bersama kira-kira 50 jemaah lain.

Kejadian itu menyebabkan solat jenazah remaja lelaki yang meninggal dunia selepas koma selama lapan bulan akibat kemalangan jalan raya itu terpaksa dihentikan sementara.

Imam masjid berkenaan, Mat Desa Sulaiman, 80-an berkata, dia terkejut sebaik melihat Ahmad yang semasa itu berdiri di sebelahnya tiba-tiba terjatuh kali kedua ke lantai masjid.

“Sebelum itu, dia (Ahmad) sudah rebah ke lantai semasa kami hendak memulakan solat jenazah dan kami terpaksa menangguhkan sementara solat itu untuk membawanya berehat di tepi tiang masjid.

“Dalam tempoh beberapa minit, keadaannya kembali pulih dan dia meminta untuk menunaikan solat bersama di saf hadapan,” kata Mat Desa kepada Kosmo! di sini.

Atlet Korea Utara dihalang terima telefon Samsung

31 unit peranti yang sepatutnya diberikan kepada atlet Korea Utara dirampas oleh pegawai sukan negara itu.
RIO DE JANEIRO – BRAZIL. Sebagai penaja rasmi temasya Sukan Olimpik Rio 2016,  syarikat telekomunikasi terkemuka, Samsung menghasilkan Samsung Galaxy S7 Edge edisi khas Olimpik.

Difahamkan, kesemua 12,500 orang atlet yang mengikuti temasya sukan bertaraf dunia ini menerima peranti berkenaan sebagai buah tangan berikutan penyertaan mereka pada edisi kali ini.

Namun begitu, berbeza dengan Korea Utara di mana 31 unit peranti yang sepatutnya diberikan kepada atlet mereka dirampas oleh pegawai sukan negara itu yang menemani mereka ke Brazil.

Menurut laporan Radio Free Asia, peranti berkenaan dirampas berikutan dikhuatiri menjadi alat intipan oleh Korea Selatan yang merupakan pengasas kepada  syarikat telekomunikasi terbabit.

Pegawai sukan negara itu membimbangi bahawa pemberian peranti berkenaan akan mempengaruhi atlet negara pimpinan Kim Jong Un.

Samsung Galaxy S7 Edge edisi khas Olimpik hadir dengan warna peranti dan wajahnya diubah menggunakan warna gegelung Olimpik.

Hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Korea Selatan masih tegang walaupun gencatan senjata dipersetujui pada tahun 1953. -Amanz.my

Imam maut ditembak dari jarak dekat

Imam Maulana Akonjee
NEW YORK -  AMERIKA SYARIKAT. Polis di New York mengesahkan seorang imam dan pembantunya di masjid maut ditembak ketika sedang berjalan kaki meninggalkan Masjid Jame al-Furqan, lapor BBC.

Kejadian itu berlaku kira-kira 1.50 petang waktu tempatan apabila mereka dihampiri seorang lelaki dari belakang sebelum kedua-duanya ditembak di kepala.

Mangsa, Maulana Akonjee, 55 berpindah dari sebuah bandar dari Bangladesh ke New York, dua tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Thara Uddin sempat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Polis New York berkata motif kejadian masih belum dapat dipastikan sama ada kedua-duanya diserang kerana agama mereka.

Suspek serangan didakwa meninggalkan tempat kejadian dengan memegang pistol di sekitar Ozone Park, Queens namun masih belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Saturday, 13 August 2016

“Kalau ada Nabi selepasku, maka orangnya ialah Umar”


Seperti mana Allah kasihkan hamba-hambanya yang lain, saya doakan Allah turut limpahkan kasih sayangnya pada saudara sekalian.

Saudara tau tak antara sahabat Rasulullah SAW yang sangat menekan masyarakat untuk belajar bahasa Arab adalah Saidina Umar. Sape yang tak kenal Saidina Umar, pernah takluk 2/3 dunia.

Rasulullah SAW pernah bagitau, "Kalau lepas ni ada lagi Nabi, Allah akan pilih Umar menjadi Nabi."

Rasulullah bersabda;

لوكان بعدى نبي لكان عمر بن الخطب

Maksudnya: “Kalaulah ada nabi selepas aku, tentulah dia Umar bin Al Khattab.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Hakim)

Saidina Umar mendidik anak-anaknya semasa kecil untuk menghafaz sastera-sastera Arab demi untuk memastikan mereka turut menguasai bahasa Arab dengan baik. 

Cabaran bahasa Arab pada zaman Umar tak sama dengan cabaran pada zaman Nabi SAW. Pada zaman Saidina Umar, Islam telah berkembang ke serata dunia termasuk negara-negara bukan Arab.

Masa tu orang Arab sudah bergaul dengan bukan Arab & perbualan orang Arab dah bercampur dengan bahasa yang lain.

Macam kita la saudara, contohnya bro..ok.. no hal &... banyak lagilah..

                                     


3 keistimewaan yang orang belajar bahasa Arab dapat :


  • Lebih seronok melakukan solat
  • Memahami ayat-ayat al Qur’an dengan lebih mendalam
  • Dapat membaca kitab-kitab agama dalam bahasa original (bahasa Arab)

Tak kisah di mana jua anda belajar bahasa Arab, yang penting usaha nak fahami bahasa al Qur'an tu ada dalam diri kita.

                               

Semoga sedikit ilmu yang dikongsikan mampu memberikan manfaat kepada saudara sekalian.

Ust. Abu Hanifa 
Pensyarah Bahasa Arab UTHM

SPRM tingkat pendekatan beku, sita dan lucut harta pelaku rasuah


PUTRAJAYA - Tindakan tegas termasuk membeku, menyita atau melucutkan hak harta yang diperoleh melalui perbuatan rasuah dan salah guna kuasa akan digunakan secara lebih agresif dalam membendung perlakuan rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan itu akan dijalankan dengan menggunakan kemampuan dan kuasa penguatkuasaan yang sedia ada.

"Antaranya tindakan demikian boleh diambil melalui peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

"Pada hemat saya, faktor utama yang mendorong gejala rasuah semakin berleluasa adalah kerana sikap tamak pada golongan yang mempunyai kuasa dan kedudukan sama ada dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi mahupun rendah.

"Bila motivasi mereka melakukan rasuah iaitu harta dan wang, maka SPRM perlu memastikan bahawa apa saja perolehan yang diperoleh dengan hasil rasuah dan juga salah guna kuasa ini perlu dirampas dan disita serta dilucut harta kepada kerajaan, bukan sekadar mereka ini dibawa ke muka pengadilan," katanya. - Bernama

Hilang lemak di perut


Penampilan kamu mungkin menarik perhatian si gadis. Namun, jika tak tahu menjaga pemakanan mungkin akan mencacatkan imej kamu di khalayak apabila mempunyai perut buncit.

Tapi jangan risau, terdapat beberapa cara dan petua hilangkan masalah perut buncit. Lakukan dengan konsisten dan bertindak sekarang untuk mengembalikan keunikan imej kamu. Jika bukan sekarang, bila lagi?

1. Air lemon panas

Bagi yang tidak tahu, antara kebaikan air lemon ialah melancarkan sistem pencernaan, membakar kalori di perut dan meningkatkan metabolisme tubuh.

2. Elak atau kurangkan makanan masin

Percaya atau tidak, terlalu banyak garam dalam tubuh akan menyebabkan lemak makanan masin tersekat dan berkumpul di perut kerana air terhalang untuk melancarkan proses pencernaan.

3. Elak makan pada lewat malam

Kebiasaannya, selepas makan malam kita akan terus tidur. Ini sebenarnya akan menyebabkan lebihan gula dari makanan terutama nasi yang diambil ditukarkan kepada lemak. Semasa tidur, badan tidak akan membakar lemak di perut.

4. Makan dengan kadar sedikit

Ramai yang tahu tapi belum mampu menahan tabiat ini. Mengambil makanan berlebihan mampu menjadikan kamu mudah naik berat badan lebih-lebih lagi jika kadar metabolisme tubuh sangat rendah.

Lebih kronik, tabiat kamu yang tidak suka melakukan senaman kardio seperti joging, berjalan atau menaiki tangga akan menyebabkan masalah ini tidak selesai.

5. Ambil susu rendah lemak

Pengambilan susu memang bagus untuk kesihatan tubuh tapi perlu ingat, ia juga kaya dengan lemak. Justeru, elak mengambil susu yang tinggi lemak dan makanan seperti keju atau yogurt.