Friday, 20 January 2017

Tidak perlu ke balai lapor kemalangan

KHALID ABU BAKAR menampal pelekat Op Selamat pada salah sebuah motosikal sebelum melepaskan pasukan petugas Op Selamat 10 2017 di Persada PLUS, Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang terlibat dalam kemalangan kecil tanpa kecederaan antara Plaza Tol Sungai Besi di sini dan Plaza Tol Seremban, Negeri Sembilan tidak lagi perlu membuat laporan di balai polis mulai esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebaliknya mereka boleh berbuat demikian dengan pegawai penyiasat polis yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya antara kedua-dua plaza tol terbabit.

Menurutnya. projek perintis sempena Op Selamat 10 2017 itu bermula esok sehingga 5 Februa­ri ini dan sekiranya memberikan impak positif akan diperluaskan ke lokasi-lokasi lain secara berpe­ringkat-peringkat.

“Jika mereka terlibat dengan kemalangan (kecil), mangsa boleh terus membuat laporan kepada pegawai penyiasat di lokasi kejadian tanpa perlu ke balai polis berdekatan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Op Selamat 10 2017 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, Pe­taling Jaya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan PLUS Berhad, Datuk Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, aspek penguatkuasaan akan terus diperhebatkan menerusi penu­buhan pasukan khas bagi memantau pesalah-pesalah trafik yang masih berdegil melanggar peraturan se­panjang Op Selamat kali ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi pasukan berkenaan akan ditempatkan bagi memastikan orang ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan ini sentiasa mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan peningkatan sebanyak 7,152 mangsa pada tahun lalu berban­ding 6,076 yang direkodkan pada 2015.
Katanya, berdasarkan analisis, sebanyak 60 peratus jumlah kematian keseluruhan disumbangkan oleh penunggang motosikal.

No comments:

Post a Comment