KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) merayu orang ramai menderma darah menjelang musim perayaan berikutan jumlah bekalan yang ada kini berada di paras rendah.
Pengarah PDN, Dr Noryati Abu Yamin, berkata setiap kali cuti panjang terutama pada musim perayaan PDN berdepan masalah kekurangan bekalan darah kerana orang ramai tidak menderma.
"Negara memerlukan 2,000 beg darah sehari bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara. "Bagi kawasan Lembah Klang, PDN memerlukan 500 unit darah dalam sehari atau 3,500 beg seminggu.
"Bagaimanapun untuk memenuhi keperluan darah yang diperlukan setiap hari ini, PDN berdepan kekangan apabila tibanya musim perayaan apabila jumlah bekalan darah yang diterima berkurangan.
"Bagi memenuhi keperluan ini, PDN berharap masyarakat lebih peka dengan keperluan darah dan tampil membantu pesakit terutamanya pada musim cuti perayaan yang akan disambut hujung bulan ini," katanya kepada BH.
Dr Noryati berkata, sejak beberapa bulan lalu bekalan darah negara membabitkan kategori A, B, AB berada di tahap rendah. Katanya, walaupun jumlah yang ada itu dikira mencukupi untuk keperluan semasa tetapi sekiranya orang ramai tidak datang menderma, beliau bimbang bekalan akan menjadi kritikal.
"Untuk mengenalpasti sama ada bekalan darah berada dalam keadaan mencukupi atau tidak tidak, PDN mengambil inisiatif memperkenalkan 'Stok Bekalan Darah Semasa' yang dikemaskini setiap hari menggunakan sistem warna lampu isyarat," katanya.
Menerusi sistem ini, isyarat hijau menunjukkan bekalan darah berada di tahap selamat, isyarat kuning jumlah darah yang ada berada di paras kurang selamat dan merah adalah rendah.
Orang ramai dapat melihat stok bekalan darah semasa melalui laman web www.pdn.gov.my yang dikemas kini setiap hari.
No comments:
Post a Comment