Monday, 23 January 2017

Bekas pensyarah UM ketuai Daesh


KUALA LUMPUR – Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman melumpuhkan kumpulan baharu pengganas Daesh yang merancang menjadikan Sabah sebagai lokasi transit anggota pengganas Asia Tenggara dan Asia Selatan untuk dibawa masuk ke selatan Filipina dan menyertai kumpulan tersebut.

Kumpulan Daesh yang dike­tuai bekas pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Mahmud Ahmad (gambar kecil) itu dikatakan sedang aktif merekrut dan mengatur perjalanan anggota Daesh dari negara ini, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya sebelum mereka memasuki pusat Daesh yang berpangkalan di Marawi City, Mindanao, Filipina.

Mahmud, 39, atau nama samarannya Abu Hanzalah pada tahun 2014 menjadi buruan polis selepas menganggotai kumpulan militan Arakan Daulah Islamiah (ADI) di Sabah. Selepas menyedari dirinya diburu, Mahmud menyusup masuk ke Filipina dan menyertai kumpulan Abu Sayyaf.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ke­giatan Mahmud itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki Filipina dalam satu serbuan di Kota Kinabalu pada 13 Januari lalu.

Menurut beliau, lelaki Fi­lipina berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjual jam merupakan suspek utama yang ditugaskan oleh Mahmud untuk merekrut anggota baharu Daesh bagi menyertai kumpulan pengganas di bawah pimpinan Mahmud.

“Siasatan mendapati kumpulan Daesh bawah Mahmud ini telah bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf pimpinan Isnilon Hapilon yang berbaiah dengan Abu Bakar Al-Baghdadi iaitu pemimpin utama Daesh di Syria.

“Selain Mahmud, dua lagi rakyat Malaysia iaitu Amin Bachi dan Joraimee Awang turut menjadi orang penting dalam mengerakkan kumpulan Daesh yang berpangkalan di Marawi City,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Saturday, 21 January 2017

PDN rayu orang ramai derma darah


KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) merayu orang ramai menderma darah menjelang musim perayaan berikutan jumlah bekalan yang ada kini berada di paras rendah. 

Pengarah PDN, Dr Noryati Abu Yamin, berkata setiap kali cuti panjang terutama pada musim perayaan PDN berdepan masalah kekurangan bekalan darah kerana orang ramai tidak menderma.

"Negara memerlukan 2,000 beg darah sehari bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara. "Bagi kawasan Lembah Klang, PDN memerlukan 500 unit darah dalam sehari atau 3,500 beg seminggu. 

"Bagaimanapun untuk memenuhi keperluan darah yang diperlukan setiap hari ini, PDN berdepan kekangan apabila tibanya musim perayaan apabila jumlah bekalan darah yang diterima berkurangan. 

"Bagi memenuhi keperluan ini, PDN berharap masyarakat lebih peka dengan keperluan darah dan tampil membantu pesakit terutamanya pada musim cuti perayaan yang akan disambut hujung bulan ini," katanya kepada BH. 

Dr Noryati berkata, sejak beberapa bulan lalu bekalan darah negara membabitkan kategori A, B, AB berada di tahap rendah. Katanya, walaupun jumlah yang ada itu dikira mencukupi untuk keperluan semasa tetapi sekiranya orang ramai tidak datang menderma, beliau bimbang bekalan akan menjadi kritikal. 

"Untuk mengenalpasti sama ada bekalan darah berada dalam keadaan mencukupi atau tidak tidak, PDN mengambil inisiatif memperkenalkan 'Stok Bekalan Darah Semasa' yang dikemaskini setiap hari menggunakan sistem warna lampu isyarat," katanya. 

Menerusi sistem ini, isyarat hijau menunjukkan bekalan darah berada di tahap selamat, isyarat kuning jumlah darah yang ada berada di paras kurang selamat dan merah adalah rendah. 

Orang ramai dapat melihat stok bekalan darah semasa melalui laman web www.pdn.gov.my yang dikemas kini setiap hari.

Friday, 20 January 2017

Tidak perlu ke balai lapor kemalangan

KHALID ABU BAKAR menampal pelekat Op Selamat pada salah sebuah motosikal sebelum melepaskan pasukan petugas Op Selamat 10 2017 di Persada PLUS, Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang terlibat dalam kemalangan kecil tanpa kecederaan antara Plaza Tol Sungai Besi di sini dan Plaza Tol Seremban, Negeri Sembilan tidak lagi perlu membuat laporan di balai polis mulai esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebaliknya mereka boleh berbuat demikian dengan pegawai penyiasat polis yang ditempatkan di sepanjang lebuh raya antara kedua-dua plaza tol terbabit.

Menurutnya. projek perintis sempena Op Selamat 10 2017 itu bermula esok sehingga 5 Februa­ri ini dan sekiranya memberikan impak positif akan diperluaskan ke lokasi-lokasi lain secara berpe­ringkat-peringkat.

“Jika mereka terlibat dengan kemalangan (kecil), mangsa boleh terus membuat laporan kepada pegawai penyiasat di lokasi kejadian tanpa perlu ke balai polis berdekatan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Op Selamat 10 2017 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, Pe­taling Jaya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan PLUS Berhad, Datuk Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, aspek penguatkuasaan akan terus diperhebatkan menerusi penu­buhan pasukan khas bagi memantau pesalah-pesalah trafik yang masih berdegil melanggar peraturan se­panjang Op Selamat kali ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi pasukan berkenaan akan ditempatkan bagi memastikan orang ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan ini sentiasa mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan peningkatan sebanyak 7,152 mangsa pada tahun lalu berban­ding 6,076 yang direkodkan pada 2015.
Katanya, berdasarkan analisis, sebanyak 60 peratus jumlah kematian keseluruhan disumbangkan oleh penunggang motosikal.