Saturday, 3 September 2016

GAJI SEBENARNYA MASIH RENDAH


KEADAAN ekonomi sekarang sememangnya mendesak warga kota menjalankan kerja lebih daripada satu walaupun memegang segulung ijazah.

Ini kerana gaji permulaan yang sangat rendah dan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang minimum.

Prof. Dr. Rahmah Ismail.
Menurut Profesor Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rahmah Ismail (gambar), bayaran upah atau gaji di Malaysia jauh lebih rendah dari negara jiran, Singapura tetapi lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand.

“Namun, perbandingan kos sara hidup dengan Indonesia dan Thailand menunjukkan kos sara hidup di Malaysia adalah lebih tinggi menyebabkan gaji benar di negara ini jauh lebih rendah.

“Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, Malaysia sepatutnya menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pekerjanya. Kadar upah di Malaysia tidak menggambarkan tahap pendidikan. Di sektor swasta misalnya, gaji dibayar mengikut pengalaman kerja dan sering berlaku mereka yang memegang diploma menerima upah lebih tinggi daripada pemegang ijazah.

“Namun, permasalahan ini perlu ditangani dengan teliti agar gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja adalah sejajar dengan produktiviti mereka,” ujarnya.

Rahmah turut berpendapat kebanyakan warga kota yang melakukan kerja lebih daripada satu adalah untuk memenuhi keperluan asas.

“Walaupun menerima gaji di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, ia boleh dianggap rendah dan belum cukup memenuhi keperluan minimum bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak. Oleh sebab itu, kerajaan meletakkan isi rumah yang memperoleh pendapatan RM3,850 ke bawah sebagai miskin bandar dan layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Bagaimanapun tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang suka hidup di luar kemampuan. Ini dapat dibuktikan dengan hutang isi rumah yang amat serius di negara ini. Pada 2015 misalnya hutang isi rumah adalah 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan hutang ini ialah disebabkan sistem kewangan mudah cari seperti kad kredit dan kad debit yang amat memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan tanpa membawa wang tunai.

“Kecanggihan teknologi maklumat juga memudahkan penggunakan mendapatkan barangan mereka secara dalam talian yang seterusnya meningkatkan penggunaan yang kadang kala berlaku pembaziran,” katanya.

No comments:

Post a Comment