PARIS – Sekurang-kurangnya 2.6 bilion orang atau lebih satu pertiga populasi dunia terutama di Afrika, Asia dan rantau Pasifik berisiko dijangkiti virus Zika, kata sepasukan penyelidik semalam, manakala di India sahaja, 1.2 bilion penduduk berisiko dijangkiti kuman itu.
Kesemua mereka tinggal di kawasan yang belum terjejas oleh wabak Zika tetapi memiliki iklim bersesuaian dan bilangan nyamuk yang cukup banyak untuk virus itu membiak, merebak dan mencetuskan wabak seperti di Benua Amerika dan rantau Carribean.
“Berdasarkan kajian kami, penduduk berisiko dijangkiti virus Zika tertinggi di India (1.2 bilion orang) diikuti China (242 juta orang), Indonesia (197 juta orang) Nigeria (179 juta orang), Pakistan (168 juta orang) dan Bangladesh (163 juta orang),” demikian kata pasukan saintis berkenaan.
Menurut kajian tersebut, sama ada virus bawaan nyamuk Aedes itu akan merebak di negara-negara berkenaan sebahagian besarnya bergantung kepada daya tahan penduduk terhadap virus Zika.
Kes terpencil Zika pernah dilaporkan di Afrika dan Asia sebelum ini, namun tidak diketahui sama ada wabak itu cukup meluas hingga menyebabkan penduduknya menjadi imun kepada virus itu.
Satu lagi persoalan kata mereka, adakah ada daya tahan terhadap virus Zika asal Afrika boleh menawarkan perlindungan terhadap rantaian virus Zika dari Asia yang kini menular.
“Jika daya tahan terhadap virus Zika ini meluas, wabak Zika akan hilang dengan cepat,” kata Derek Gatherer dari Universiti Lancaster berhubung kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases.
“Sebaliknya, jika ia menyerang populasi tanpa daya tahan, kita akan menyaksikan berulangnya situasi seperti di Brazil dan tempat-tempat lain di Amerika Latin,” tambahnya.
Pasukan penyelidik berkenaan menggunakan data perjalanan udara, peta penyebaran nyamuk dan keadaan iklim, maklumat kepadatan penduduk serta perbelanjaan kesihatan untuk menghasilkan model risiko wabak Zika.
Virus Zika dikaitkan dengan sindrom mikrosefali atau kecacatan otak bayi baru lahir dan penyakit saraf Sindrom Guillain-Barre yang boleh membawa kepada lumpuh atau kematian, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sejak wabak Zika meletus pada pertengahan tahun 2015, lebih 1.5 juta penduduk telah dijangkiti virus itu di Brazil, manakala lebih 1,600 bayi dilahirkan dengan sindrom mikrosefali. – AFP
No comments:
Post a Comment