Thursday, 15 September 2016

Malaysia naik sembilan anak tangga ranking FIFA

KUALA LUMPUR - Malaysia melonjak sembilan anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-158 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Skuad Harimau Malaysia, yang kekal pada kedudukan ke-167 sejak Julai lepas, mengumpul sejumlah 158 mata untuk menduduki di belakang Filipina (125), Thailand (135), Vietnam (141), Myanmar (153) dan Singapura (155) dalam kalangan negara ASEAN.

Ranking bulan September itu menyaksikan skuad negara, kendalian Datuk Ong Kim Swee, berada setanding dengan beberapa negara lain seperti Grenada (156), Barbados (157), Kuwait (159) dan Aruba di tangga ke-160.

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia dijangka merosot bulan depan susulan kekalahan 3-1 kepada Indonesia, yang menduduki ranking ke-181, dalam perlawanan persahabatan pada 6 September lepas.

Berdasarkan ranking sejak awal tahun ini, Malaysia mencatatkan rekod terburuk dengan kedudukan ke-171 dunia pada Januari dan Februari, 166 (Mac), 174 (April dan Mei), 173 (Jun) dan 167 pada Julai.

Ranking FIFA melibatkan 209 negara. -Bernama

Sunday, 4 September 2016

Lelaki diculik untuk ajar BI di Korea Utara?

David Sneddon ketika berusia 24 tahun.

SEORANG lelaki yang sebelum ini dianggap telah meninggal dunia sejak 12 tahun lalu dilaporkan masih hidup dan ditemui di Korea Utara selepas dipercayai diculik untuk menjadi tutor peribadi pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

David Sneddon dilaporkan kini tinggal di Pyongyang bersama isteri serta dua anaknya selepas dipercayai 'diculik' oleh ejen Korea Utara.

David yang merupakan penuntut di Brigham Young University di Provo, Utah dilaporkan hilang di Yunnan, China pada 14 Ogos 2004 ketika berusia 24 tahun.

Polis China berkata, pelajar yang mengikuti program pertukaran pelajar mungkin meninggal dunia akibat kemalangan ketika mendaki gunung.

Namun David kini didakwa masih hidup dan tinggal di Pyongyang selepas diculik untuk bekerja sebagai tutor Bahasa Inggeris kepada Kim lebih daripada satu dekad yang lalu dan dilaporkan tinggal di ibu negara Korea Utara dengan seorang isteri dan dua orang anak

Sementara itu, Ketua Kesatuan Keluarga diculik Korea Selatan,Choi Sung-yong berkata, maklumat baru itu menunjukkan seorang lelaki muda tidak meninggal dunia pada tahun 2004.

Choi berkata, lelaki itu sebaliknya, diculik untuk berkhidmat sebagai tutor Bahasa Inggeris peribadi kepada Kim Jong Un yang bapanya ketika itu pemimpin Korea Utara, laporan Yahoo News Jepun.

David yang fasih berbahasa Korea pada masa kehilangannya, nampaknya berkahwin dengan seorang wanita Korea Utara dan masih mengajar Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, bapa serta ibu kepada David, Roy dan Kathleen Sneddon telah lama percaya bahawa anaknya itu telah diculik.

Roy berkata, laporan mengenai anaknya  itu menguatkan hujah mereka sejak dari awal lagi yang mengatakan David berada di Korea Utara.

Susulan laporan itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat secara rasmi melancarkan carian terhadap  David di Korea Utara, lapor Deseret News.

Keluarga David turut menubuhkan sebuah laman web dan laman Facebook khusus untuk mencari lelaki itu.

David yang belajar bahasa Mandarin di Beijing sebagai sebahagian daripada program pertukaran universiti itu hilang di Shangri-La di wilayah Yunnan utara-barat.

Beliau kini dilaporkan berusia 35 tahun.

Saturday, 3 September 2016

GAJI SEBENARNYA MASIH RENDAH


KEADAAN ekonomi sekarang sememangnya mendesak warga kota menjalankan kerja lebih daripada satu walaupun memegang segulung ijazah.

Ini kerana gaji permulaan yang sangat rendah dan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang minimum.

Prof. Dr. Rahmah Ismail.
Menurut Profesor Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rahmah Ismail (gambar), bayaran upah atau gaji di Malaysia jauh lebih rendah dari negara jiran, Singapura tetapi lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand.

“Namun, perbandingan kos sara hidup dengan Indonesia dan Thailand menunjukkan kos sara hidup di Malaysia adalah lebih tinggi menyebabkan gaji benar di negara ini jauh lebih rendah.

“Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, Malaysia sepatutnya menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pekerjanya. Kadar upah di Malaysia tidak menggambarkan tahap pendidikan. Di sektor swasta misalnya, gaji dibayar mengikut pengalaman kerja dan sering berlaku mereka yang memegang diploma menerima upah lebih tinggi daripada pemegang ijazah.

“Namun, permasalahan ini perlu ditangani dengan teliti agar gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja adalah sejajar dengan produktiviti mereka,” ujarnya.

Rahmah turut berpendapat kebanyakan warga kota yang melakukan kerja lebih daripada satu adalah untuk memenuhi keperluan asas.

“Walaupun menerima gaji di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, ia boleh dianggap rendah dan belum cukup memenuhi keperluan minimum bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai anak. Oleh sebab itu, kerajaan meletakkan isi rumah yang memperoleh pendapatan RM3,850 ke bawah sebagai miskin bandar dan layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Bagaimanapun tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang suka hidup di luar kemampuan. Ini dapat dibuktikan dengan hutang isi rumah yang amat serius di negara ini. Pada 2015 misalnya hutang isi rumah adalah 89.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Salah satu faktor yang menyebabkan peningkatan hutang ini ialah disebabkan sistem kewangan mudah cari seperti kad kredit dan kad debit yang amat memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan tanpa membawa wang tunai.

“Kecanggihan teknologi maklumat juga memudahkan penggunakan mendapatkan barangan mereka secara dalam talian yang seterusnya meningkatkan penggunaan yang kadang kala berlaku pembaziran,” katanya.

Friday, 2 September 2016

2.6 bilion berisiko dijangkiti Zika


PARIS – Sekurang-kurangnya 2.6 bilion orang atau lebih satu pertiga populasi dunia terutama di Afrika, Asia dan rantau Pasifik berisiko dijangkiti virus Zika, kata sepasukan penyelidik semalam, manakala di India sahaja, 1.2 bilion penduduk berisiko dijangkiti kuman itu.

Kesemua mereka tinggal di kawasan yang belum terjejas oleh wabak Zika tetapi memiliki iklim bersesuaian dan bilangan nyamuk yang cukup banyak untuk virus itu membiak, merebak dan mencetuskan wabak seperti di Benua Amerika dan rantau Carribean.

“Berdasarkan kajian kami, penduduk berisiko dijangkiti virus Zika tertinggi di India (1.2 bilion orang) diikuti China (242 juta orang), Indonesia (197 juta orang) Nigeria (179 juta orang), Pakistan (168 juta orang) dan Bangladesh (163 juta orang),” demikian kata pasukan saintis berkenaan.

Menurut kajian tersebut, sama ada virus bawaan nyamuk Aedes itu akan merebak di negara-negara berkenaan sebahagian besarnya bergantung kepada daya tahan penduduk terhadap virus Zika.

Kes terpencil Zika pernah dilaporkan di Afrika dan Asia sebelum ini, namun tidak diketahui sama ada wabak itu cukup meluas hingga menyebabkan penduduknya menjadi imun kepada virus itu.

Satu lagi persoalan kata mereka, adakah ada daya tahan terhadap virus Zika asal Afrika boleh menawarkan perlindungan terhadap rantaian virus Zika dari Asia yang kini menular.

“Jika daya tahan terhadap virus Zika ini meluas, wabak Zika akan hilang dengan cepat,” kata Derek Gatherer dari Universiti Lancaster berhubung kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases.

“Sebaliknya, jika ia menyerang populasi tanpa daya tahan, kita akan menyaksikan berulangnya situasi seperti di Brazil dan tempat-tempat lain di Amerika Latin,” tambahnya.

Pasukan penyelidik berkenaan menggunakan data perjalanan udara, peta penyebaran nyamuk dan keadaan iklim, maklumat kepadatan penduduk serta perbelanjaan kesihatan untuk menghasilkan model risiko wabak Zika.

Virus Zika dikaitkan dengan sindrom mikrosefali atau kecacatan otak bayi baru lahir dan penyakit saraf Sindrom Guillain-Barre yang boleh membawa kepada lumpuh atau kematian, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Sejak wabak Zika meletus pada pertengahan tahun 2015, lebih 1.5 juta penduduk telah dijangkiti virus itu di Brazil, manakala lebih 1,600 bayi dilahirkan dengan sindrom mikrosefali. – AFP

Thursday, 1 September 2016

Sultan Selangor selamat diijabkabulkan dengan Norashikin


SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah selamat diijabkabulkan dengan pasanganya, Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, kelmarin.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pernikahan baginda disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dalam satu majlis secara sederhana dan ringkas.

Majlis Pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor, Dr. Anhar Opir ; bekas timbalan mufti negeri, Mohd. Rasid Mahful dan ahli majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bapa dan ahli keluarga pengantin perempuan. - K! ONLINE